TAJUK 9 – PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA
Pengenalan
Menurut
Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas 2013)
Bahagian 3 terbahagi kepada dua iaitu pendidikan khas dan pemulihan khas.
Pendidikan khas adalah pendidikan bagi murid yang berkeperluan khas di mana
murid-murid ini telah diperakui oleh pengamal perubatan sebagai murid yang
mempunyai ketidakupayaan penglihatan, pendengaran, pertuturan, ketidakupayaan
fizikal, masalah pembelajaran atau mana-mana kombinasi ketidakupayaan dan
masalah tersebut. Manakala, pemulihan khas pula adalah murid yang mengalami
kesukaran dalam penguasaan kemahiran asas 3M disebabkan faktor persekitaran dan
bukan kognitif. Mereka yang layak mendapat pendidikan Khas ini adalah
kanak-kanak lembap, Down Syndrome, kurang keupayaan mental, bermasalah
kesihatan, austistik ringan dan kecelaruan bahasa atau pertuturan.
Isi-isi penting
1. Ciri-ciri murid berkeperluan khas.
Ciri-ciri murid yang tergolong dalam murid
berkeperluan khas adalah seperti mengalami masalah pembelajaran,
masalah penglihatan, masalah pendengaran, masalah pertuturan dan ketidakupayaan
fizikal. Murid yang mengalami masalah
pembelajaran adalah mereka yang menghadapi gangguan intelek yang menghalang
kemampuan untuk memproses dan menyimpan maklumat dan pemikiran mereka tidak
seperti umur biologikal mereka. Murid yang
mengalami masalah penglihatan pula terbahagi kepada tidak dapat melihat
(buta) dan penglihatan yang terhad seperti rabun yang sangat teruk. Seterusnya
adalah murid yang mengalami masalah
pendengaran iaitu pekak. Murid yang
mengalami masalah pertuturan pula tidak dapat bercakap dan berkomunikasi
dengan baik seperti mempunyai masalah sebutan, gagap dan kecelaruan bahasa.
Akhir sekali, murid yang mengalami
ketidak upayaan fizikal seperti kehilangan fungsi atau kehilangan salah
satu anggota badan atau lebih.
2. Cara
memastikan murid berminat untuk belajar.
Terdapat
pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh
guru untuk memastikan bahawa murid-murid berkeperluan khas ini terus
berminat untuk belajar dan tidak ketinggalan di dalam kelas. Antaranya, mempelbagaikan bahan bantu mengajar
seperti menggunakan audio, gambar atau video bergantung kepada kesesuaian dan
masalah pembelajaran pelajar. Seterusnya, memastikan persekitaran pembelajaran adalah kondusif dan sesuai dengan masalah
pelajar. Contohnya, menyediakan bilik yang mempunyai pendingin hawa, kipas dan
aliran udara yang baik. Seterusnya adalah persekitaran
pembelajaran positif dan selamat. Contohnya, tiada kerosakan perabot, dinding
dihias dengan gambar menarik dan berwarna warni supaya dapat menarik minat
pelajar. Bilik darjah juga mestilah tidak menempatkan sebarang cermin kerana
barangan kaca amat merbahaya kepada pelajar khas ini. Jadi, untuk menjamin
keselamatan pelajar, sebarang barang kaca yang mudah pecah mestilah jauh
daripada pelajar.
3. Peranan
guru.
Peranan guru dalam mendorong para pelajar ini untuk
terus berjaya dalam pelajaran adalah dengan memberi sokongan, menggunakan
pendekatan yang sesuai dan mempelbagaikan aktiviti dari segi akademik serta
bukan akademik. Pedagogi yang diajar
terhadap pelajar kurang upaya adalah berbeza mengikut kepada kognitif mereka di
mana penyampaian haruslah menggunakan teknik dan kaedah pengajaran yang berbeza
daripada pelajar normal (Mohamad Rozai et al., 2020). Guru haruslah bijak menggunakan pendekatan yang bersesuain dengan keperluan murid agar
mereka tidak merasa terabai
dan terus berminat untuk belajar. Seterusnya, guru juga perlu mempelbagaikan aktiviti dalam pembelajaran
murid tidak kira dari segi pelajaran mahupun aktiviti di luar bilik darjah.
Dengan menganjurkan pelbagai aktiviti di luar bilik darjah, hal ini secara
tidak langsung dapat membantu guru untuk mencungkil bakat-bakat yang ada dalam
diri pelajar ini yang mana dapat membantu mereka untuk meneruskan kehidupan
kelak. Akhir sekali, guru mestilah terus
memberi sokongan moral kepada pelajar agar mereka tidak berputus asa kerana
kekurangan yang mereka alami dan terus bersemangat untuk belajar. Guru
memainkan peranan yang sangat penting untuk membina keyakinan dan jati diri
yang teguh dalam diri pelajar untuk menghadapi dunia luar kelak di samping
sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa.
Kesimpulan
Kesimpulannya,
guru, ibu bapa dan pihak sekolah haruslah menjaga kebajikan pelajar
berkeperluan khas ini agar dapat memberi peluang kepada lebih ramai lagi
anak-anak yang mengalami masalah ketidakupayaan untuk mendapatkan pendidikan
yang seterusnya dapat membantu anak-anak ini untuk meneruskan kehidupan apabila
sudah besar kelak. Sekolah menjadi medium kepada pelajar-pelajar ini untuk
mengasah bakat serta kemahiran mereka serta mencungkil kebolehan yang ada pada
diri pelajar yang istimewa ini. Sekolah adalah tempat anak-anak istimewa ini
untuk belajar menjadi insan yang berdikari. Oleh itu, pelbagai pihak perlu
berganding bahu agar pendidikan kepada anak-anak bekeperluan khas ini dapat
ditingkatkan.
Rujukan
Slide pembentangan kumpulan 10 (Pengurusan murid
pelbagai upaya). https://docs.google.com/presentation/d/15TkZW9amve-BX9xJ
KtR_2Y0VyY6ZFck/edit?usp=sharing&ouid=107076675368896751420&rtpof=true&sd=true
Mohamad Rozai, N. H. M., & Jabor, M. K.
(2020). Level of Teacher̢۪ s Preparedness in Teaching towards Disabled Student
in Vocational Special Education School/Tahap Kesediaan Guru Mengajar Pelajar
Kurang Upaya (OKU) di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional
(SMPKV). Sains Humanika, 12(2-2).