Wednesday, December 15, 2021

TAJUK 6 – PENGURUSAN TINGKAH LAKU DAN DISIPLIN

TAJUK 6 – PENGURUSAN TINGKAH LAKU DAN DISIPLIN

Pengenalan

Tingkah laku adalah tindak tanduk manusia yang boleh diperhatikan, diukur serta dinilai sama ada tindakannya adalah benar atau tidak. Tingkah laku juga merupakan budaya, sikap emosi, nilai, etika, autoriti, hubungan baik, pujukan, paksaan dan genetik yang mempengaruhi tindakan manusia bagi sesuatu perkara. Disiplin amat berkait rapat dengan tingkah laku pelajar di sekolah. Disiplin bermaksud tingkah laku yang menepati ketetapan peraturan yang telah ditetapkan. Di sekolah, murid-murid perlu mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan. Komponen pengurusan tingkah laku dan disiplin murid terdiri daripada tiga iaitu pengurusan tingkah laku, peraturan dan disiplin murid dan cara untuk menyelesaikan masalah disiplin pelajar.

 

Isi-isi penting

1.    Pengurusan tingkah laku

Bagi komponen pertama iaitu pengurusan tingkah laku, pengetua dan guru-guru bertanggungjawab terhadap segala perkara yang dilakukan oleh warga sekolah terhadap pelajar. Pihak sekolah berperanan untuk mendidik dan menjaga para pelajar. Pengetua perlu mengambil berat terhadap dokumen undang-undang sekolah dan sentiasa mengingatkan staf mengenai peraturan tersebut. Guru pula bertanggungjawab sebagai ibu bapa pelajar dan boleh didakwa sekiranya cuai. Prosedur tindakan disiplin terhadap pelajar haruslah adil dan saksama. Sekiranya seseorang pelajar itu melakukan kesalahan dan dihukum, guru perlu menjelaskan terlebih dahulu kesalahan pelajar tersebut. Setelah itu, pelajar dibenarkan untuk memberi keterangan dan membela diri. Sekiranya pelajar mengemukakan rayuan, guru mesti mendengar dan mempertimbangkan rayuan tersebut. Akhir sekali, pihak sekolah menjatuhkan hukuman yang sesuai terhadap pelajar setelah membuat pertimbangan dengan merujuk buku Tatacara Pengurusan Disiplin Sekolah dan Surat Pekeliling Ikhtisas. Pihak sekolah tidak boleh menjatuhkan sebarang hukuman sesuka hati tanpa merujuk dokumen-dokumen yang sahih.

 

2.    Peraturan dan disiplin murid.

Seterusnya adalah peraturan dan disiplin murid. Terdapat banyak peraturan-peraturan yang ditetapkan dan perlu dipatuhi oleh pihak sekolah dan murid di sekolah. Terdapat pelbagai kesalahan dan salah laku murid seperti jenayah, lucah, kekemasan diri, tidak pentingkan masa, tidak sopan dan biadap, menipu, ponteng, nakal dan lain-lain kes. Sekiranya didapati bersalah, murid boleh dikenakan hukuman seperti buang sekolah, gantung persekolahan, rotan, penahanan dalam kelas, denda wang (perlu mengambil kira kemampuan murid), dan nasihat atau amaran keras. Menurut Ordinan Pelajaran 1957 dan Peraturan Disiplin 1959, antara peraturan yang telah ditetapkan adalah guru besar bertanggungjawab terhadap disiplin sekolah dimana guru besar mempunyai kuasa ke atas guru-guru dan murid-murid di sekolah (peraturan 4), guru besar boleh mewakilkan kuasa kepada guru-guru lain (peraturan 6) dan guru besar mempunyai kuasa menggantung persekolahan atau membuang murid (peraturan 8). Murid boleh membuat rayuan semula sekiranya dibuang atau digantung sekolah dan rayuan perlu dikemukakan melalui ibu bapa murid dengan budi bicara pihak sekolah.

 

3.    Cara mengatasi masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

Akhir sekali adalah cara untuk mengatasi masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Antaranya, membantu murid sedar akan kesalahan mereka seperti memberi nasihat untuk mengubah perlakuan mereka serta mengkaji punca-punca berlakunya masalah ini dengan bantuan guru kaunseling agar masalah murid dapat diselesaikan dengan baik. Selain itu, sekiranya kesalahan yang dilakukan oleh pelajar itu sangat serius, ianya perlulah diberitahu kepada guru besar dan dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti pihak polis, JPN, AADK dan lain-lain supaya tindakan yang lebih keras dilakukan dan ini juga sebagai pengajaran kepada pelajar-pelajar lain. Program peningkatan konsep kendiri dan jati diri murid juga boleh dirangka di sekolah bagi memberi kesedaran kepada murid-murid agar sentiasa menjaga tingkah laku di sekolah.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, pengurusan tingkah laku murid mestilah dilaksanakan sebaik mungkin oleh pihak sekolah agar dapat membanteras masalah disiplin di dalam kalangan murid yang semakin hari semakin berleluasa agar dapat membentuk murid yang lebih berdisiplin dan seterusnya seimbang dari segi akhlak dan intelek. Segala hukuman yang ingin dijalankan bagi tujuan memperbaiki dan memberi pengajaran kepada murid haruslah mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Rujukan

http://ffoliokps.blogspot.com/2018/11/topik-9-pengurusan-tingkah-laku-dan_14.html

https://missanco.wordpress.com/2018/11/15/topik-9/

Nota kuliah KPS3014


No comments:

Post a Comment