Friday, December 17, 2021

TAJUK 10 – SEKOLAH DAN PERSEKITARAN

TAJUK 10 – SEKOLAH DAN PERSEKITARAN

Pendahuluan

Sekolah merupakan pusat penyebaran ilmu untuk mendidik individu. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, sekolah membawa maksud tempat untuk belajar, menerima pelajaran, mengajar dan memberi pelajaran. Persekitaran pula membawa maksud kawasan sekeliling pada sesuatu tempat. Persekitaran ini tidak terhad kepada alatan atau benda sahaja. Manusia atau kelompok masyarakat yang mengelilingi individu juga dapat diklasifikasikan sebagai persekitaran. Sekolah perlu berhubung dengan masyarakat kerana sekolah juga adalah sebahagian daripada masyarakat. Sekolah ditubuhkan kerana masyarakat memerlukannya dan masyarakat perlu bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memastikan matlamat sekolah dapat dicapai. Proses pembelajaran dan pengajaran ini tidak seharusnya dibiar atas tanggungjawab pihak sekolah sahaja. Meskipun sekolah kini memberi pembelajaran yang seiring dengan perkembangan waktu serta pengajaran mengenai keterampilan, ibu bapa dan masyarakat juga perlu bersama-sama dengan pihak sekolah untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

Isi-isi Penting

1.    Faktor yang mempengaruhi corak pengurusan dan pembelajaran di sekolah.

Terdapat dua faktor yang mempengaruhi corak pengurusan dan pembelajaran murid di sekolah iaitu faktor luaran dan faktor dalaman. Faktor dalaman terdiri daripada interaksi antara pihak pentadbir, guru dan murid. Manakala faktor luaran adalah interaksi tiga dimensi antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti di dalam masyarakat. Hubungan antara faktor luaran dan faktor dalaman adalah apabila faktor luaran seperti kelas sosial, etnik dan gender mempengaruhi pembelajaran dan sahsiah murid di sekolah. Contohnya, murid yang berasal daripada golongan berada dan kaya-raya mempunyai pelbagai akses dan kemudahan yang dapat membantu mereka meningkatkan keterlibatan pembelajaran di dalam kelas. Jika pembelajaran di dalam kelas semakin baik, ini akan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih seronok.

 

2.    Hubungan dalaman.

Hubungan dalaman antara pihak pentadbir, guru dan murid penting bagi memastikan gaya kepimpinan, peranan guru dan bentuk interaksi yang berlaku dapat memberi manfaat kepada pencapaian dan sahsiah murid di sekolah. Kepimpinan yang berkesan akan melahirkan situasi pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Hal ini membawa kepada banyak lagi pencapaian yang melibatkan masyarakat seperti pencapaian akademik dan sahsiah individu di dalam sesebuah masyarakat. Pengetua sebagai ketua pentadbiran sekolah haruslah mempunyai interaksi atau hubugan yang baik dengan para guru dan guru juga haruslah mempunyai interaksi yang baik dengan pihak pentadbir.

 

3.    Hubungan dengan pihak luar.

 Selain itu, hubungan sekolah dan dengan pihak luar adalah seperti hunungan dengan ibu bapa dan komuniti di dalam masyarakat. Hubungan ini dapat menjayakan pelbagai program yang dijalankan atau bakal dijalankan di sekolah. Pengetua terutamanya sebagai ketua pentadbiran haruslah memebentuk satu hubungan yang baik dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Namun begitu, guru juga berperanan untuk membentuk jalinan ini. Dengan adanya jalinan dengan ibu bapa, pihak sekolah juga dapat melibatkan komuniti masyarakat untuk menjayakan aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Hubungan tiga dimensi antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti  dapat membantu dalam mencapai matlamat sekolah. Hubungan yang akrab antara pihak luar dapat membawa faedah dan sinergi kepada semua pihak yang terlibat.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, sekolah berdiri sebagai sebuah institusi sosial dan ianya tidak wujud untuk bersendirian. Masyarakat dan sekolah saling memerlukan kerana sekolah adalah agen perubahan setiap lapisan masyarakat. Kejayaan di sekolah akan menghasilkan kejayaan masyarakt dan kejayaan masyarakat dalam pelbagai aspek akan memberi kesan yang baik kepada proses pembentukan murid di sekolah. Sekolah bertindak sebagai agen perubahan masyarakat kerana setiap individu mendapat pembelajaran di sekolah.

Rujukan

http://mrhafizzul.blogspot.com/2018/11/bab-13-sekolah-dan-persekitaran.html

https://www.slideshare.net/shockgadof/hub-sekolah-dgn-masysekguru

 https://prezi.com/wreexehqehkl/sekolah-dan-persekitaran

No comments:

Post a Comment