Saturday, December 18, 2021

TAJUK 12 – INTERAKSI DALAM PEMBELAJARAN

TAJUK 12 – INTERAKSI DALAM PEMBELAJARAN

Pendahuluan

Interaksi merupakan tindakan atau tindak balas antara dua pihak atau lebih. Interaksi dalam pembelajaran berkait rapat dengan jalinan hubungan antara guru dengan pelajar. Di dalam konsep pendidikan, interaksi dapat dilihat melalui interaksi guru dan murid di dalam bilik darjah. Menurut Abdul Rashid Jamian (2013), guru perlu bijak dalam memilih pendekatan, kaedah dan teknik yang sesuai bagi strategi pengajaran. Kesan pengajaran yang efektif lahir daripada kemahiran guru yang dapat merangsang murid untuk berfikir secara kritis dan kreatif, seterusnya dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan berkesan. Terdapat beberapa bentuk interaksi di dalam bilik darjah.

 

Isi-isi penting

1. Interaksi sehala

Antaranya, interaksi sehala yang mana interaksi ini agak pasif dan murid hanya dipaksa untuk menerima sahaja apa yang diberikan oleh guru tidak kira sama ada ilmu pengetahuan mahupun arahan. Guru yang mengamalkan interaksi sehala ini boleh dikatakan menggunakan pendekatan autoritarian dimana pelajar tiada kuasa untuk berinteraksi dengan orang lain ketika di dalam kelas. Situasi ini akan menghadkan interaksi di dalam kelas dan menyebabkan pelajar tidak dapat mengembangkan idea dan pemikiran mereka.

 

2. Interaksi dua hala

Seterusnya adalah interaksi dua hala. Interaksi ini merupakan jenis interaksi yang aktif kerana berlaku komunikasi antara dua pihak. Contohnya, guru bertanyakan soalan kepada pelajar dan pelajar menjawab soalan guru ataupun sebaliknya, murid bertanya kepada guru dan guru menjawab persoalan murid. Akan tetapi, interaksi ini hanya berlaku antara dua pihak iaitu guru dan murid. Tiada sebarang interaksi antara murid dengan murid yang lain.

3. Interaksi kumpulan

Akhir sekali adalah interaksi kumpulan. Interaksi ini melibatkan komunikasi antara pelajar dan guru adalah sebagai pemudah cara. Interaksi ini boleh dilakukan dengan memberi tugasan secara berkumpulan kepada pelajar dan guru bertindak sebagai pembimbing. Aktiviti seperti ini akan menggalakkan pelajar untuk lebih aktif di dalam kelas dan saling bertukar pendapat dengan rakan-rakan. Situasi ini akan membantu pelajar untuk mengembangkan lagi idea kreatif mereka. Aktiviti yang dijalankan secara berkumpulan juga akan memupuk nilai kerjasama dan sikap saling bertolak ansur antara pelajar terutamanya sekolah yang berbilang bangsa. Interaksi ini kemudiannya akan membiasakan pelajar dengan interaksi sosial yang mana melibatkan kumpulan yang lebih besar iaitu di kalangan masyarakat.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, interaksi merupakan satu komponen yang sangat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana melalui interaksi, murid dan guru dapat sama-sama melahirkan suasana pembelajaran yang lebih efektif dan kondusif. Komunikasi yang berlaku antara guru dan pelajar, pelajar dan pelajar yang lain akan mengeratkan lagi hubungan setiap individu di dalam bilik darjah serta para pelajar juga akan berasa selesa dengan guru dan rakan-rakan mereka kerana dapat berinteraksi dengan baik.

Rujukan

Jamian, A. R., Othman, S., & Ishak, S. (2016). Interaksi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu3(1), 42-51.

https://remiefarizf.wordpress.com/2018/12/27/bab-2-interaksi-dan-pembelajaran/

https://www.studocu.com/my/document/universiti-pendidikan-sultan-idris/pengurusan-pembelajaran/bab-2-interaksi-dan-pembelajaran/19255472

No comments:

Post a Comment