Wednesday, December 15, 2021

TAJUK 5 – STRATEGI MENGURUS BILIK PEMBELAJARAN

TAJUK 5 – STRATEGI MENGURUS BILIK PEMBELAJARAN

Pendahuluan

Bilik darjah adalah tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran dan merupakan tempat yang paling penting di dalam sesebuah sekolah. Pengurusan bilik darjah adalah proses yang memerlukan guru untuk mengurus kelas agar aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan berkesan. Bilik pembelajaran ataupun bilik darjah secara fizikalnya dilengkapi dengan kerusi, meja pelajar, meja guru, papan hitam, alat bantu mengajar dan 20 hingga 30 orang pelajar di dalam satu-satu kelas. Pengurusan bilik darjah bertujuan membentuk dan memelihara tingkah laku murid agar dapat menyumbang kepada kelancaran proses penyampaian ilmu serta menghasilkan pengajaran yang cekap dan berkesan (James Ang Jit Eng, 2014). Terdapat tiga strategi dalam mengurus bilik pembelajaran.

 

Isi-isi penting

1.    Unsur fizikal bilik darjah

Antaranya, unsur fizikal bilik darjah iaitu penyusunan tempat duduk pelajar serta perabot di dalam kelas. Penyusunan di dalam bilik darjah amat penting kerana ini dapat menentukan sejauh mana keberkesanan pembelajaran pelajar sama ada berjaya atau tidak. Kedudukan pelajar mestilah disusun mengikut kesesuaian ataupun fizikal pelajar supaya mereka yang mempunyai fizikal lebih kecil tidak terhalang. Kedudukan pelajar juga tidak boleh diubah dengan kerap bagi mengelakkan kekeliruan pelajar semasa belajar. Hal ini kerana, pelajar akan berasa selesa dan telah menyesuaikan diri di tempat masing-masing sejak dari awal lagi. Jadi, sekiranya tempat duduk sering ditukar, ini akan sedikit sebanyak mengganggu fokus pelajar di dalam kelas. Meja guru pula mestilah diletakkan di hadapan kelas supaya mudah guru memantau murid ketika di dalam kelas. Guru juga perlu sentiasa berada sekitar meja pelajar sepanjang pembelajaran berlaku.

 

2.    Interaksi dalam bilik darjah

Seterusnya adalah interaksi di dalam bilik darjah. Interaksi adalah suatu proses tindak balas yang berlaku di antara sekurang-kurangnya dua pihak. Interaksi yang berlaku di dalam bilik darjah adalah hasil daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Jenis-jenis interaksi yang bercorak lisan adalah interaksi sehala iaitu antara guru mengawal situasi di dalam kelas, dua hala iaitu interaksi antara guru dengan murid ataupun murid dengan murid, interaksi pelbagai hala berlaku antara guru dan murid serta murid dengan murid dan interaksi berkomputer. Bagi meningkatkan interaksi di dalam kelas, guru boleh menggunakan kaedah kerja berkumpulan, pengajaran berbentuk amali dan menggunakan kaedah pengajaran yang boleh menghidupkan suasana pembelajaran seperti sesi soal jawab, perbincangan, permainan dan lain-lain.

 

3.    Suasana pembelajaran yang positif

Akhir sekali, suasana pembelajaran yang positif di dalam bilik darjah. Suasana pembelajaran juga boleh dibahagikan kepada tiga iaitu suasana fizikal, sosial dan emosi. Suasana fizikal lebih kepada susun atur di dalam kelas serta penyusunan perabot yang bersesuaian di dalam kelas. Suasana sosial pula adalah interaksi di dalam kelas. Suasana emosi di dalam bilik darjah haruslah sentiasa positif supaya murid dapat belajar dengan tenang. Contohnya, guru boleh memberi pujian kepada pelajar jika mereka berjaya mencapai sesuatu. Hal ini turut dapat mengurangkan suasana emosi yang tegang dalam diri pelajar. Guru juga harus bijak dalam memimpin dan menggunakan kaedah pengajaran agar tidak menyebabkan pelajar belajar dalam keadaan tertekan dan takut. Guru perlu menegur kesalahan pelajar dengan baik dan tidak menyatakan sebarang sindiran sekiranya pelajar tidak dapat menjawab dengan betul. Suara dan bahasa yang digunakan ketika di dalam kelas juga haruslah jelas, tidak tegang dan berbentuk perbualan agar lebih mesra dan mudah untuk mendekati pelajar.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, strategi pengurusan bilik darjah mestilah dilakukan dengan baik agar proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar serta memberi keselesaan kepada pelajar dan guru itu sendiri untuk terus fokus di dalam kelas. Strategi yang dirangka haruslah mengambil kira unsur fizikal, interaksi dan juga suasana bilik darjah supaya dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berlaku seiring dengan matlamat dan isi pembelajaran yang ingin disampaikan.

Rujukan

https://www.scribd.com/document/90614970/Definisi-Bilik-Darjah

Eng, J. A. J. (2014). Pengurusan bilik darjah: Strategi-strategi mewujudkan komuniti pembelajaran berkesan. PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.

Nota kuliah KPS3014.

No comments:

Post a Comment