Friday, December 17, 2021

TAJUK 9 – PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA

TAJUK 9 – PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA

Pengenalan

Menurut Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas 2013) Bahagian 3 terbahagi kepada dua iaitu pendidikan khas dan pemulihan khas. Pendidikan khas adalah pendidikan bagi murid yang berkeperluan khas di mana murid-murid ini telah diperakui oleh pengamal perubatan sebagai murid yang mempunyai ketidakupayaan penglihatan, pendengaran, pertuturan, ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran atau mana-mana kombinasi ketidakupayaan dan masalah tersebut. Manakala, pemulihan khas pula adalah murid yang mengalami kesukaran dalam penguasaan kemahiran asas 3M disebabkan faktor persekitaran dan bukan kognitif. Mereka yang layak mendapat pendidikan Khas ini adalah kanak-kanak lembap, Down Syndrome, kurang keupayaan mental, bermasalah kesihatan, austistik ringan dan kecelaruan bahasa atau pertuturan.

Isi-isi penting

1.    Ciri-ciri murid berkeperluan khas.

Ciri-ciri murid yang tergolong dalam murid berkeperluan khas adalah seperti mengalami masalah pembelajaran, masalah penglihatan, masalah pendengaran, masalah pertuturan dan ketidakupayaan fizikal. Murid yang mengalami masalah pembelajaran adalah mereka yang menghadapi gangguan intelek yang menghalang kemampuan untuk memproses dan menyimpan maklumat dan pemikiran mereka tidak seperti umur biologikal mereka. Murid yang mengalami masalah penglihatan pula terbahagi kepada tidak dapat melihat (buta) dan penglihatan yang terhad seperti rabun yang sangat teruk. Seterusnya adalah murid yang mengalami masalah pendengaran iaitu pekak. Murid yang mengalami masalah pertuturan pula tidak dapat bercakap dan berkomunikasi dengan baik seperti mempunyai masalah sebutan, gagap dan kecelaruan bahasa. Akhir sekali, murid yang mengalami ketidak upayaan fizikal seperti kehilangan fungsi atau kehilangan salah satu anggota badan atau lebih.

 

2.    Cara memastikan murid berminat untuk belajar.

Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk memastikan bahawa murid-murid berkeperluan khas ini terus berminat untuk belajar dan tidak ketinggalan di dalam kelas. Antaranya, mempelbagaikan bahan bantu mengajar seperti menggunakan audio, gambar atau video bergantung kepada kesesuaian dan masalah pembelajaran pelajar. Seterusnya, memastikan persekitaran pembelajaran adalah kondusif dan sesuai dengan masalah pelajar. Contohnya, menyediakan bilik yang mempunyai pendingin hawa, kipas dan aliran udara yang baik. Seterusnya adalah persekitaran pembelajaran positif dan selamat. Contohnya, tiada kerosakan perabot, dinding dihias dengan gambar menarik dan berwarna warni supaya dapat menarik minat pelajar. Bilik darjah juga mestilah tidak menempatkan sebarang cermin kerana barangan kaca amat merbahaya kepada pelajar khas ini. Jadi, untuk menjamin keselamatan pelajar, sebarang barang kaca yang mudah pecah mestilah jauh daripada pelajar.

 

3.    Peranan guru.

Peranan guru dalam mendorong para pelajar ini untuk terus berjaya dalam pelajaran adalah dengan memberi sokongan, menggunakan pendekatan yang sesuai dan mempelbagaikan aktiviti dari segi akademik serta bukan akademik. Pedagogi yang diajar terhadap pelajar kurang upaya adalah berbeza mengikut kepada kognitif mereka di mana penyampaian haruslah menggunakan teknik dan kaedah pengajaran yang berbeza daripada pelajar normal (Mohamad Rozai et al., 2020). Guru haruslah bijak menggunakan pendekatan yang bersesuain dengan keperluan murid agar mereka tidak merasa terabai dan terus berminat untuk belajar. Seterusnya, guru juga perlu mempelbagaikan aktiviti dalam pembelajaran murid tidak kira dari segi pelajaran mahupun aktiviti di luar bilik darjah. Dengan menganjurkan pelbagai aktiviti di luar bilik darjah, hal ini secara tidak langsung dapat membantu guru untuk mencungkil bakat-bakat yang ada dalam diri pelajar ini yang mana dapat membantu mereka untuk meneruskan kehidupan kelak. Akhir sekali, guru mestilah terus memberi sokongan moral kepada pelajar agar mereka tidak berputus asa kerana kekurangan yang mereka alami dan terus bersemangat untuk belajar. Guru memainkan peranan yang sangat penting untuk membina keyakinan dan jati diri yang teguh dalam diri pelajar untuk menghadapi dunia luar kelak di samping sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, guru, ibu bapa dan pihak sekolah haruslah menjaga kebajikan pelajar berkeperluan khas ini agar dapat memberi peluang kepada lebih ramai lagi anak-anak yang mengalami masalah ketidakupayaan untuk mendapatkan pendidikan yang seterusnya dapat membantu anak-anak ini untuk meneruskan kehidupan apabila sudah besar kelak. Sekolah menjadi medium kepada pelajar-pelajar ini untuk mengasah bakat serta kemahiran mereka serta mencungkil kebolehan yang ada pada diri pelajar yang istimewa ini. Sekolah adalah tempat anak-anak istimewa ini untuk belajar menjadi insan yang berdikari. Oleh itu, pelbagai pihak perlu berganding bahu agar pendidikan kepada anak-anak bekeperluan khas ini dapat ditingkatkan.

Rujukan

Slide pembentangan kumpulan 10 (Pengurusan murid pelbagai upaya). https://docs.google.com/presentation/d/15TkZW9amve-BX9xJ KtR_2Y0VyY6ZFck/edit?usp=sharing&ouid=107076675368896751420&rtpof=true&sd=true

Mohamad Rozai, N. H. M., & Jabor, M. K. (2020). Level of Teacher’ s Preparedness in Teaching towards Disabled Student in Vocational Special Education School/Tahap Kesediaan Guru Mengajar Pelajar Kurang Upaya (OKU) di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV). Sains Humanika12(2-2).

No comments:

Post a Comment