TAJUK 4 – PENGURUSAN SUMBER
Pengenalan
Pengurusan sumber merupakan proses
menyusun, merancang, mengarah dan mengawal sesuatu program yang melibatkan
sumber. Pengurusan sumber memainkan peranan yang penting dalam mencapai
matlamat dan kecemerlangan bagi sesebuah sekolah. Pengurusan sumber yang baik
dan berkesan dapat memberikan banyak kebaikan terhadap para pelajar dan juga
pihak sekolah. Salah satu pengurusan sumber di sekolah adalah pengurusan pusat
sumber. Pusat sumber memainkan peranan sebagai gedung ilmu yang dapat
dimanfaatkan oleh guru dan murid dalam menjalankan proses pengajaran dan
pembelajaran (Yusuf Boon, 2010). Bagi topik pengurusan sumber ini, isi yang
akan dibincangkan adalah mengenai peranan pusat sumber, pengajaran berasaskan
sumber dan jenis-jenis sumber serta kemudahan yang terdapat di pusat sumber.
Isi-isi
penting
1. Peranan pusat sumber.
Pusat sumber memainkan peranan sebagai tempat memperoleh pelbagai bahan bacaan
yang berkualiti tidak kira dari segi bahan bacaan bercetak atau tidak bercetak
untuk keperluan kurikulum dan ko-kurikulum. Pusat sumber juga berkhidmat
sebagai tempat memperoleh alatan dan
bahan yang boleh digunakan dalam proses pembelajaran serta bertanggungjawab
memastikan segala alatan dan bahan tersebut berada dalam keadaan yang baik.
Seterusnya, pusat sumber juga merupakan tempat bagi menggalakkan aktiviti membaca dan kemahiran pencarian maklumat
dalam kalangan pelajar. Akhir sekali, pusat sumber juga berfungsi sebagai tempat
pelajar mendapatkan panduan mencari,
mengguna, menghasilkan dan mempersembahkan maklumat yang diperlukan dalam
kurikulum atau pembelajaran mereka.
2.
Pengajaran berasaskan sumber
Pengajaran berasaskan sumber adalah aktiviti pembelajaran dimana memberi penekanan kepada sumber pendidikan dan berhasrat untuk melibatkan pelajar secara aktif dalam pembelajaran.
- Kaedah pengajaran ini adalah berpusatkan murid dimana guru
berfungsi sebagai pemudah cara dan pengarah pengajian. Proses pembelajaran
kurang bergantung pada papan putih dan lebih banyak projek dapat
dilaksanakan kerana menggunakan bahan bagi pembelajaran secara individu
atau berkumpulan.
- Ciri-ciri pembelajaran berasaskan sumber ini adalah berpusatkan pelajar, memberi
peluang kepada pelajar belajar mengikut keupayaan, lebih fleksibel dalam
penggunaan waktu serta ruang belajar dan menggunakan pelbagai pendekatan
untuk mencari sumber bahan pembelajaran.
- Penekanan yang diberikan adalah meliputi pengetahuan pelajar,
tujuan pembelajaran, pencarian bahan, kaedah serta strategi pendekatan,
tempat beraktiviti dan mendapat bimbingan daripada guru.
- Kesan yang
diperoleh adalah pelajar memperoleh ilmu pengetahuan dengan lebih
berkesan, meningkatkan kemahiran berpasukan dalam diri pelajar, guru dapat
mengesan prestasi pelajar dan guru dapat melaksanakan kaedah pengajaran
yang pelbagai.
3.
Jenis-jenis sumber dan kemudahan yang terdapat di pusat sumber.
Antara
jenis koleksi bahan yang terdapat di pusat sumber adalah bahan fiksyen, bukan fiksyen, bahan terbitan berkala dan bahan khusus.
Bahan bacaan fiksyen adalah karya sastera yang diterbitkan daripada rekaan atau
khayalan pengarang seperti buku cerita arnab dan kura-kura, sang kancil dan
buaya dan sebagainya. Bahan bukan fiksyen pula adalah buku falsafah, agama,
sains kemasyarakatan, bahasa dan buku-buku rujukan seperti buku rujukan umum,
rujukan khas dan rujukan khusus. Seterusnya, bahan terbitan berkala adalah
bahan yang diterbitkan secara berkala atau bersiri seperti risalah, surat
khabar, majalah dan jurnal. Bahan khusus pula adalah bahan yang diterbitkan
berdasarkan sesuatu perkara atau bidang khusus seperti tesis, karya pelajar,
buku skrap dan kertas seminar. Kemudahan
yang disediakan di pusat sumber terdiri daripada media cetak seperti bahan bacaan dan media bukan cetak seperti projektor, papan tulis, papan flannel,
komputer, glob, model dan permainan catur serta sahiba yang dapat digunakan di
dalam proses pengajaran dan pebelajaran.
Kesimpulan
Kesimpulannya, pengurusan sumber di
sekolah adalah penting bagi sesebuah organisasi sekolah supaya segala matlamat
dan objektif sekolah dapat dicapai. Pusat sumber pula memainkan peranan yang
penting sebagai pusat ilmu pengetahuan dan menyediakan pelbagai khidmat dalam
proses pengajaran dan pembelajaran seperti koleksi bahan pengajaran dan sebagai
agen perubahan dalam proses pembelajaran. Pengurusan sumber di sekolah perlulah
dijalankan dengan baik agar segala sumber dapat digunakan secara optimum dan dimanfaatkan
dengan sebaik mungkin oleh semua warga sekolah dalam meningkatkan prestasi
sekolah.
Rujukan
Boon, Y.,
& Selemin, R. (2010). Penggunaan Pusat Sumber Sekolah (PSS) Dalam
Pengajaran Guru Di Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Di Kawasan Skudai.
West-Burnham, J. (2009). Mengurus
kualiti di sekolah. Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad. https://books.google.com.my/books?id=XMVogoOqq4C&lpg=PA144&dq=kons
ep%20pembelajaran%20berasaskan%20sumber&pg=PP6#v=onepage&q=konsep%20pembelajaran%20berasaskan%20sumber&f=false
Nota kuliah
KPS3014.
Hasil dapatan
kajian daripada projek berasaskan sekolah yang telah dijalankan iaitu
pengurusan sumber. https://drive.google.com/file/d/1VoDfFNOpFlCoVagu-mRhK3o_RTB0P1Yx/view?usp=sharing
https://prezi.com/3ood1pnnxkxp/apa-itu-pengurusan-sumber
http://pengurusanpembelajaran2018.blogspot.com/2018/11/tajuk-7-pengurusan-sumber.html
No comments:
Post a Comment